Ahad, 14 Februari 2021

Jangan ganggu kawasan Umno, PAS dalam PRU15, Saarani saran PPBM cari ‘pasaran baharu’

 SHAH ALAM: Umno Perak mengingatkan PPBM supaya tidak bertanding di kerusi yang dimenangi Umno pada pilihan raya umum (PRU) terdahulu.

Pengerusi Umno Perak, Saarani Mohamad berkata, PPBM perlu berbuat demikian sekiranya parti itu mahukan penyatuan di negeri itu, menurut laporan akhbar Sinar harian.

Beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dan bertegas supaya semua kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) itu kekal ditandingi Umno pada PRU ke-15 akan datang.



“Kalau ada keikhlasan untuk menyokong dan mendokong penyatuan di negeri Perak, jangan ganggu tempat Umno dan PAS.

“Terdapat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PPBM di Perak sekarang iaitu di Sungai Manik dan Tualang Sekah. Kerusi itu sebenarnya hak Umno.

“Jadi, Umno akan letak calon bertanding di kawasan ini.

Dalam pada itu, beliau turut mendakwa Parlimen Larut, Bagan Serai dan Bukit Gantang adalah kawasan asal milik Umno, sekali gus menggesa PPBM supaya tidak bertanding di kawasan terbabit.

“Kami menang dulu (PRU14) atas tiket BN (Barisan Nasional). Kita tidak akan bagi kepada PPBM. Tiada sebarang kompromi,” katanya yang juga menteri besar Perak.

Saarani berkata, jika PPBM benar-benar mahu menyelamatkan umat Islam dan orang Melayu, maka mereka disarankan bertanding di kerusi yang kini disandang oleh Pakatan Harapan (PH).

“PPBM janganlah mengganggu tempat Umno dan PAS. Cuba cari pasaran baharu, itu yang kita minta.

“Kalau tidak, seperti yang dijangkakan, akan berlaku pertandingan tiga penjuru ataupun empat penjuru. Jika itu berlaku, sudah tentu orang lain akan mengambil kesempatan dan parti Melayu akan jatuh,” tambah beliau.

Menurut ADUN Kota Tampan itu, Umno memiliki kekuatan sendiri menerusi Muafakat Nasional (MN) dan persefahaman itu perlu diteruskan.

Beliau turut berjanji untuk mengarahkan semua ahli Umno supaya membantu PPBM sekiranya parti itu tidak bertanding di kawasan milik parti itu.

“Saya janji, kalau PPBM sanggup bertanding di Simpang Pulai, ahli Umno di kawasan ini saya akan kerah untuk sokong PPBM sehingga menang,” katanya.

Pada PRU 2018, kerusi DUN Simpang Pulai disandang Tan Kar Hing daripada PKR yang dimenanginya dengan majoriti lebih 20,000 undi.

Saarani berkata, PPBM perlu mengotakan janji mereka yang mahukan penyatuan dan perpaduan dalam kalangan parti Melayu.

“Kalau PPBM begitu hebat menyeru kepada perpaduan dan penyatuan, saya tiada masalah, tetapi perpaduan dan penyatuan jangan datang daripada mulut sahaja, perlu ada tindakan,” kata beliau.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/14/jangan-ganggu-kawasan-umno-pas-dalam-pru15-saarani-saran-ppbm-cari-pasaran-baharu/

Tiada ulasan:

Catat Komen

[Gaduh besar] Bersatu, UMNO bertelagah kemelut lantik ketua kampung di Johor

Ketika hubungan Bersatu dan Umno didakwa bermasalah, pimpinan dua parti itu bertelagah lagi. Kali ini di Johor dan menyentuh isu kemelut ...