Selasa, 2 Februari 2021

Mengapa 12 tertuduh LTTE didakwa? Soal Ahli Parlimen Klang kepada Tommy Thomas

 PETALING JAYA: Bekas peguam negara Tommy Thomas diminta menjelaskan mengapa 12 orang didakwa dalam kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada 2019 sekiranya beliau merasakan kes terhadap mereka lemah seperti dinyatakan dalam bukunya yang baru diterbitkan.



“Jelas tiada kes terhadap tertuduh,” kata Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago kepada FMT.

“Sekiranya tiada kes, mengapa Jabatan Peguam Negara membenarkan mereka didakwa?”

“Sebelumnya, polis berkata, transaksi kewangan besar telah dikesan dalam akaun mereka yang ditangkap, dengan wang yang kononnya untuk menghidupkan kembali LTTE. Sehingga hari ini, bukti ini belum dikemukakan,” kata beliau.

Santiago berkata, beberapa tertuduh masih mengalami kesulitan dalam mencari pekerjaan akibat kes itu.

Dua ahli DAP, P Gunasekaran dan G Saminathan, kedua-duanya ADUN, dan 10 yang lain didakwa pada Oktober 2019 atas dakwaan mempunyai kaitan dengan LTTE.

Namun, pada Februari tahun lalu, Thomas mengumumkan bahawa beliau menggunakan kuasanya sebagai pendakwa raya untuk menghentikan prosiding terhadap 12 lelaki itu.

Dalam bukunya yang diterbitkan pada 30 Jan, Thomas menulis beliau terganggu dengan perbicaraan akan datang terhadap 12 tertuduh tersebut kerana merasakan kes pendakwaan lemah.

Beliau juga berkata, kes LTTE dan siasatan mengenai kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim menggariskan isu perkauman yang dihadapi oleh Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan.

Adib meninggal dunia akibat kecederaan yang didakwa dialaminya selepas diserang ketika memadamkan kebakaran berhampiran Kuil Seafield di Subang.

PH tak tahu bagaimana menangani terbabit

Santiago bersetuju kedua-dua kes itu digunakan untuk menimbulkan sentimen perkauman terhadap kerajaan PH tetapi Thomas juga harus menggalas sedikit tanggungjawab.

Beliau berkata, memang jelas yang isu LTTE dan kematian Adib digunakan sebagai alat politik, dan “PH tidak tahu bagaimana untuk menangani isu tersebut”.

Katanya, pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu menjadi perdana menteri, tidak menyediakan kepemimpinan, terutama dalam kes LTTE, dan pemimpin Melayu lain dalam PH memilih untuk berdiam diri.

Santiago berkata, dia percaya pertikaian dalam PH adalah salah satu punca kegagalan pemimpin Melayu dalam gabungan itu untuk bersuara tentang isu berkenaan.

Beliau berkata, realitinya dalam politik adalah isu seperti itu akan berterusan selagi parti berasaskan kaum terus wujud.

“Saya harap rakyat sekarang akan melihat bagaimana bangsa dan agama dipergunakan, yang kemudian menyatukan golongan seperti Umno dan PAS, dan kemudian PPBM.

“Hari ini, PH tidak berkuasa. Mereka (Golongan seperti Umno dan PAS, dan kemudian PPBM) yang berkuasa. Siapa yang akan menghalang mereka daripada menyelesaikan masalah yang dipersalahkan ke atas kami ini? ” kata Santiago.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/02/mengapa-12-tertuduh-ltte-didakwa-soal-ahli-parlimen-kepada-tommy-thomas/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Agong berkenan Parlimen bersidang semula, tapi kenapa Putrajaya senyap, soal Najib

  PETALING JAYA: Bekas perdana menteri Najib Razak menyuarakan kehairanan beliau apabila kerajaan kerana tidak memberi sebarang maklum balas...