Jumaat, 5 Februari 2021

[Panas] DAP calon Anwar sebagai PM, bukan Shafie – Guan Eng

 KUALA LUMPUR – DAP telah menetapkan untuk mencalonkan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri sekiranya Pakatan Harapan (PH) menang dan berjaya membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, pencalonan Presiden PKR itu dibuat secara bulat suara dari rakan gabungan PH iaitu PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) menerusi mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.



Kata beliau, sekiranya sebelum ini DAP dan Presiden Amanah, Mohamad Sabu pernah menamakan Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai Perdana Menteri, itu bukan keputusan keseluruhan parti.

“Saya dan Mohamad (Mat Sabu) memang ada pilih Shafie sebagai calon Perdana Menteri kesembilan selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad, kerana saya lihat Shafie ada kewibawaan itu dan tidak semestinya apabila dia orang Sabah, maka dia tidak layak.

“Prinsip saya dan prinsip DAP sekalipun, sesiapa yang ada wibawa, tidak kira mereka pemimpin dari Sabah atau Sarawak, boleh dicalonkan sebagai Perdana Menteri. Sebab itu, saya pilih Shafie.

“Tetapi itu dulu, sekarang DAP bersama rakan gabungan dari Amanah tetap mencalonkan Anwar. Sekiranya ada perubahan calon, ia mestilah melalui Majlis Presiden PH,” katanya sebagai panel jemputan diskusi “Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita” yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook Majlis Profesor Negara (MPN), hari ini.

Diskusi itu dipengerusikan Felo MPN, Dr. Muhammad Asri Mohd Ali dan disertai Setiausaha MPN, Prof. Datuk Dr. Raduan Che Rose.

Mengenai laungan “No DAP, No Anwar” oleh pemimpin dan penyokong sebuah parti, Guan Eng mengakui parti itu terpaksa melalui retorik politik pihak tertentu yang sengaja membangkitkan api perkauman.

Katanya, musuh DAP itu berjaya menggunakan retorik berkenaan sehingga menimbulkan keraguan bagi sesetengah pihak yang marah dan tidak sukakan parti yang diasas oleh bapanya, Lim Kit Siang.

“Ini tidak lebih sebagai ideologi sempit seperti membangkitkan kebencian kaum dan ia menyamai ala bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump. Itu sesuatu proses yang terpaksa kita lalui,” katanya.

Ditanya apa yang dilakukan PH ketika menjadi kerajaan selepas menang PRU14 tahun 2018, menurut Ahli Parlimen Bagan itu, pakatan itu tidak mempunyai masa yang cukup untuk membuktikan kebaikan pentadbirannya kepada rakyat.

Kata beliau, PH hanya mampu bertahan 22 bulan sahaja mentadbir Putrajaya, tetapi sekiranya ada masa yang cukup, beliau yakin rakyat akan dapat melihat kejayaan PH yang mentadbir dengan cekap dan telus. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2021/02/04/dap-calon-anwar-sebagai-pm-bukan-shafie-guan-eng/

Tiada ulasan:

Catat Komen

[Hot!] Jangan anggap PN kerajaan yang lemah – Razali

 KUALA LUMPUR – Jangan menganggap Perikatan Nasional (PN) sebagai satu kerajaan yang lemah atau tidak berwibawa. Ini kerana kerajaan PN tela...