Isnin, 15 Mac 2021

GEMPAR!! Putra patut diberi peluang tadbir Kelantan, boleh cuba satu penggal dahulu kata Presiden Putra

 Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berikrar akan berbuat sesuatu yang drastik untuk kebaikan rakyat dan Kelantan, sebelum menghembuskan nafas terakhir.



Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) itu meminta rakyat Kelantan memberi peluang kepada parti itu untuk tempoh satu penggal pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) ini bagi merealisasikan hasratnya.

“Saya mati, saya yakin dengan pertolongan Allah, dan dengan inovasi serta kreativiti yang ada dalam barisan kepimpinan Putra Kelantan, akan dapat melakukan perubahan itu kepada rakyatnya dan negeri.

“Saya sudah ada perancangan untuk memajukan Kelantan dengan buah fikiran di kalangan kepimpinan Putra yang terdiri daripada kalangan ahli akademik, profesor, tokoh perniagaan dan bekas Jeneral tentera serta bekas pegawai kanan polis.

“Sudah banyak kali saya cakap, saya nak tukar Kelantan. Aura Kelantan perlu ditukarkan. Saya yakin boleh buat. Rakyat kena beri peluang kepada Putra mentadbir negeri ini,” katanya selepas mengadakan perjumpaan dengan Badan Putra Kelantan di Kota Bharu, semalam.

Terdahulu, beliau mengumumkan Putra Kelantan akan bertanding di 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan 14 kerusi Parlimen PRU ini.

Dr. Ibrahim berkata, beliau tidak akan dedahkan kepada umum antara perancangan yang akan dilakukan sekiranya Putra berjaya mentadbir negeri itu kerana ia sulit dan merupakan strategi parti berkenaan.

Yang penting, katanya, rakyat Kelantan perlu mempercayainya dan memberi peluang kepadanya sebagaimana beliau berjaya membawa balik jambatan Tendong dan melebarkan jambatan Salor kepada empat lorong.

“Dahulu, saya cakap nak buat jambatan Tendong, rakyat tidak percaya. Tiba-tiba ia siap dan menjadi laluan utama rakyat ke Kota Bharu. Begitu juga saya mahu melebarkan jambatan Salor dari dua kepada empat lorong, sekarang sudah diterjemahkan.

“Untuk mengubah Kelantan ini, berilah peluang saya bersama Pengerusi Badan Perhubungan Putra negeri, Prof Datuk Dr. Che Musa Che Omar melakukannya.

“Saya tidak minta lama, empat hingga lima tahun sahaja. Berilah peluang ini, sekali sahaja kepada Putra Kelantan untuk mentadbir,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Kelantan sudah merasai Barisan Nasional (BN) memerintah dan Pas mentadbir, sekarang giliran Putra pula untuk menjaga kebajikan mereka.

Katanya, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah pun yakin kepadanya untuk mengubah Kelantan bawah pimpinan parti Putra.

Bekas Ahli Parlimen Pasir Mas itu berkata, beliau mempunyai hubungan baik dengan ahli perniagaan beberapa negara di dunia dan mempunyai keyakinan dapat membawa masuk pelabur asing ke Kelantan bagi menjana ekonomi yang lebih baik.

“Kita ada calon bertaraf profesor sekurang-kurangnya 12 orang, selain itu yang marhaen, tokoh agama, perniagaan, institusi kewangan dan pelbagai latarbelakang lagi.

“Untuk jawatan Exco Pertanian, Putra ada Prof Mohamad Daud yang mahir dalam bidang pertanian. Kita juga ada anak muda lulusan Aeroangkasa dari universiti luar negara yang boleh pegang jawatan Pengerusi Teknologi dan Inovasi,” katanya.

Dr. Ibrahim turut menjelaskan, ada menerima permintaan dari beberapa bekas pemimpin UMNO menyertai Putra, tetapi menolaknya kerana mereka menetapkan syarat mahu menjadi calon bertanding PRU15.

Katanya, apabila tiba masa PRU nanti, Che Musa akan mengeluarkan senarai bayangan Exco Kerajaan Negeri dari parti Putra, iaitu calon Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar dan Pengerusi Jawatankuasa. – MG

Tiada ulasan:

Catat Komen

Najib tetap PM paling teruk dalam sejarah kata Mahathir

Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri Malaysia paling teruk dalam sejarah negara ini. ...