Rabu, 17 Mac 2021

Nak kerjasama dengan Amanah? UMNO kena berubah dahulu kata Khalid Samad

 SHAH ALAM – Parti Amanah Negara (Amanah) hanya akan mempertimbangkan kerjasama dengan UMNO sekiranya parti itu berubah dan insaf termasuk perlu menerima Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri.


Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Abdul Samad berkata, selagi UMNO tidak kembali ke pangkal jalan, masih tebal dengan politik rasuah, salahguna kuasa dan kleptokrasi, pihaknya tetap kekal dengan prinsip dan matlamat yang jelas.

“Saya ulangi sejarah Amanah. Parti ini ditubuhkan kerana Pas ketika itu hendak bekerjasama dengan UMNO yang mana 18 daripada 24 pemimpin Pas dalam jawatankuasa pusat telah membantah dan tidak bersetuju.

“Namun, kerjasama dengan UMNO dilakukan juga oleh pimpinan Pas secara belakang tabir. Apabila kita dapat tahu dan bantah, kita dijatuhkan hukum pada Muktamar Pas Pusat tahun 2015.

“Serentak itu juga Pas putuskan hubungan dengan DAP dan secara automatik keluar dari Pakatan Rakyat (PR) dan kami tubuhkan parti Amanah,” katanya pada sidang media di pejabatnya hari ini.

Khalid berkata, kerjasama Pas dengan UMNO itu telah mendatangkan perbalahan kepada PR dan ianya berpotensi mendatangkan perkara yang sama kepada Pakatan Harapan (PH) sekiranya tidak ditangani dengan baik.

“Kerana ianya mungkin strategi UMNO untuk melaga-lagakan kami,” katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata, setakat ini tidak ada apa-apa perbincangan antara parti itu dengan UMNO.

Namun, katanya, ada ura-ura menyatakan kerjasama dengan UMNO akan dilakukan selepas PRU-15.

“Kalau UMNO sanggup terima Anwar sebagai perdana menteri, tidak perlu tunggu PRU-15. Sekarang ini, isytihar Anwar sebagai perdana menteri, terus kita akan dapat ambil balik kerajaan. Kenapa perlu tunggu sehingga selepas PRU-15?” soalnya.

Beliau juga percaya PRU-15 tidak mungkin diadakan dalam tempoh terdekat ini, berdasarkan Perikatan Nasional (PN) sedang galak ‘membeli’ ahli Parlimen dalam kalangan pembangkang.

“Kalau PRU dekat iaitu Jun atau Ogos ini, tidak ada sebab kukuh untuk PN ‘membeli’ ahli Parlimen kerana perbuatan itu akan membazirkan wang,” katanya. – MalaysiaGazette

https://malaysiagazette.com/2021/03/17/umno-kena-berubah-kalau-kerjasama-dengan-amanah-khalid/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Azmin kata dia yakin audio itu rakaman sahih, anggap itu pengkhianat terbesar Anwar

 Mohamed Azmin Ali yakin audio yang dikatakan perbualan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi merupakan...