Selasa, 16 Mac 2021

PANAS! Gabungan UMNO, Pas, Bersatu mampu menang besar PRU nanti kata Menteri

 Umno, PAS dan PPBM dijangka mampu memenangi 149 kerusi Parlimen di kawasan majoriti Melayu sekiranya tiada pertembungan tiga penjuru pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), kata Annuar Musa.



Bekas setiausaha agung Barisan Nasional (BN) itu berkata, gabungan tiga parti itu berpotensi besar untuk mencapainya sekiranya mereka terus mengekalkan permuafakatan.

Malah, Annuar yakin isu perebutan kerusi Parlimen PRU15 antara parti-parti tersebut dapat diselesaikan dengan baik oleh presiden-presidennya.

“Kita ada 222 kerusi Parlimen, termasuk 31 di Sarawak. Kawasan berpotensi ditandingi BN dan rakan lain ada 191 kerusi, namun kawasan majoriti Melayu mempunyai 149 kerusi.

“Dalam 149 kerusi ini, kalau ada permuafakatan serta tidak berpecah, kita berpotensi untuk memenangi semuanya. Jadi, formula kemenangan sudah ada dalam kerajaan hari ini,” kata beliau dalam wawancara bertajuk “UMNO: Perikatan Nasional (PN) atau Muafakat Nasional (MN)” di TV Pertiwi malam tadi.

Mengulas lanjut, Annuar berkata, secara asas, formula yang sepatutnya digunakan adalah Umno mesti diberikan keutamaan untuk mempertahankan kesemua 55 kerusi yang dimenanginya pada pilihan raya umum yang lalu, walaupun ada wakil rakyatnya yang kini dengan PPBM.

“Ada lagi 11 kerusi di mana Umno mendapat undi lebih tinggi daripada PAS, manakala di enam kerusi, PAS memperoleh lebih banyak undi daripada Umno. Jadi, PAS boleh memenangi 25 kerusi dan Umno boleh memenangi 66 kerusi.

“Masih belum habis, ada kerusi lain yang boleh dipertimbangkan untuk diberi kepada PPBM. Yang pasti muafakat membawa kejayaan, itu masih boleh diusahakan,” kata beliau.

Bagaimanapun, beliau berkata, beberapa pertimbangan boleh dibuat melalui rundingan, terutama membabitkan sesetengah kerusi dimenangi PPBM pada pilihan raya umum yang lalu yang mungkin boleh diberi kepada Umno pada PRU15.

“Contohnya, Parlimen Langkawi, Kubang Pasu, Jerlun, Muar, Seri Gading atau Simpang Renggam. Kerusi-kerusi ini dimenangi PPBM tetapi ahlinya (ketika itu) kini sudah pergi ke ‘tempat lain’.

“Secara dasarnya, 55 kerusi dimenangi Umno perlu dipertahankan oleh parti itu, namun ini bukanlah muktamad. Biarlah presiden berunding dengan presiden,” kata beliau.

Annuar turut berpendapat rundingan juga boleh menyelesaikan isu siapa yang sepatutnya memegang jawatan perdana menteri.

“Lebih baik bertanding sedikit dalam gabungan dan menang banyak, daripada berebut dan bertanding banyak, tetapi akhirnya menang sedikit,” kata beliau.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/03/16/umno-pas-dan-ppbm-mampu-menang-149-kerusi-jika-bergabung-pada-pru15-kata-annuar/

Tiada ulasan:

Catat Komen

Azmin kata dia yakin audio itu rakaman sahih, anggap itu pengkhianat terbesar Anwar

 Mohamed Azmin Ali yakin audio yang dikatakan perbualan antara Presiden PKR Anwar Ibrahim dan presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi merupakan...