Isnin, 4 Januari 2021

Tak wajar buang hiasan restoran hanya kerana gambar Mao – Kor Ming

Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming menyifatkan tindakan pihak berkuasa menanggalkan gambar Pengerusi Parti Komunis China Moa Tze Tong dalam sebuah restoran di Pulau Pinang sebagai salah.

Kor Ming yang merupakan Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, tindakan pihak berwajib juga disifatkan sebagai tidak wajar kerana gambar tersebut hanyalah sebagai hiasan bagi mempromosi restoran tersebut.


Foto - Suara Merdeka


Katanya, pada abad ke-21 ini rakyat dapat membezakan antara gimik pemasaran dan ideologi komunis.

“Adalah salah dan tidak wajar bagi pemerintah pintu belakang PN untuk membuang hiasan promosi restoran yang nakal hanya kerana mereka memasang gambar Pengerusi Mao.

“Ayuh, rakyat Malaysia pada abad ke-21 dapat membezakan sendiri apa itu ideologi komunis dan gimik pemasaran,” ciap Kor Ming di Twitternya. 

Semalam, tular gambar hiasan dalam sebuah restoran yang memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis dalam media sosial.

Hiasan berlebihan seolah-olah mengagungkan pemimpin luar dan berfahaman komunis menimbulkan pertikaian warganet.

Selain hiasan didinding cawan dan peralatan dalam restoran itu turut mempamerkan karikatur berunsurkan wajah pemimpin komunis di dua premis restoran tersebut.

Polis sedang menjalankan siasatan terhadap pemilik sebuah restoran yang menghias dua premisnya masing-masing di Auto City dan Pulau Tikus dengan kertas dinding memaparkan elemen komunisme dan pemimpin komunis.



Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra’ais, berkata siasatan dijalankan setelah polis menerima maklumat daripada orang awam berhubung perkara itu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 47 Akta Pertubuhan 1966 kerana menerbitkan propaganda sebuah pertubuhan haram.

Kes terbabit juga disiasat di bawah Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana menerbit atau mengedarkan sebarang kenyataan, khabar angin atau laporan dengan niat menyebabkan ketakutan atau kegentaran awam.-SM

https://suaramerdeka.com.my/tak-wajar-buang-gambar-pengerusi-moa-dalam-restoran-kor-ming/

[Ada nombor?] Tawan Putrajaya sebelum PRU15, 'masih on' kata Anwar

 KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Anwar Ibrahim, mendedahkan pilihan menawan Putrajaya sebelum pilihan raya umum ke-15 masih berjalan, di samping mempersiapkan jentera menghadapi PRU nanti.

Beliau mengesahkan perkara itu ketika ditanya pemberita apakah pihaknya masih mengusahakan peralihan pentadbiran kerajaan sebelum PRU, selepas dakwaan beliau mempunyai “sokongan dan majoriti kukuh dan meyakinkan” pada lewat September lepas tidak membawa kepada apa-apa.

“Kita lakukan kedua-duanya. Jentera pilihan raya DAP, PKR, dan Amanah sudah bermesyuarat dan menyusun strategi mengikut keutamaan kami dan pada masa sama, kami teruskan usaha kami,” katanya pada sidang media selepas program di ibu negara.



“Saya tidak boleh katakan lebih dari ini. Tetapi ia adalah serangan serampang dua mata.”

Dalam pada itu, di sebalik perbalahannya antara beliau dan bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad, Anwar bersetuju dengan pendapat dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan bahawa pembangkang harus menggabungkan kekuatannya.

Beliau berkata Pakatan Harapan juga tidak mahu terbeban dengan “pihak yang katakan Malaysia untuk Melayu.”

“Kita mewakili pandangan untuk ajak dan rangkul kekuatan buat semua,” katanya.

Ditanya adakah beliau masih sedia bekerjasama dengan Mahathir, yang baru-baru ini menepis Anwar sebagai tidak boleh dipercayai, presiden PKR menganggap sosok bekas perdana menteri itu atau kumpulannya bukanlah isu utama untuk menjalin kerjasama.

“Kita ambil sikap terbuka, mana-mana parti yang terima dasar tatakelola yang baik, tidak amalkan kronisme, kita setuju. Saya setuju bukan dengan orang atau parti tetapi prinsipnya,” katanya.

Mahathir menyifatkan Anwar sebagai tidak boleh dipercayai selepas presiden PKR itu mengumumkan sedia bekerjasama, dengan syarat Mahathir tidak membawa agenda peribadinya.

Sejak kejatuhan kerajaan PH, bekas perdana menteri itu mengkritik Anwar sebagai tidak sesuai untuk memimpin negara, sementara penyokong Anwar pula menyalahkan Mahathir tidak berpegang pada janji.

Anwar, 73, memaklumkan kepada pemberita yang beliau tidak mahu berbalah dengan Mahathir, 95.

“Tidak apalah, apa yang hendak disibukkan dengan kenyataan Mahathir itu, minggu hadapan mungkin dia tukar lagi.”

Anwar juga ditanya tentang dakwaan Mahathir mengatakan pengundi Melayu akan menyokong PH jika bukan disebabkan pengaruhnya.

“Tidak apalah, dia terangkan mengenai kehebatan dia. Kita tahu (pada) 2013, semasa Mahathir dan rakan-rakan Pejuang di sebelah sana bersama Barisan Nasional, kita juga berjaya raih 52% sokongan rakyat,” katanya, merujuk kepada undi popular yang diperolehi Pakatan Rakyat.

Mahathir dalam temubualnya dengan China Press mendakwa PH mungkin tidak dapat menarik sokongan Melayu sekiranya tidak bekerjasama denganya pada PRU akan datang.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/01/03/tawan-putrajaya-sebelum-pru-15-masih-on-kata-anwar/

143 bahagian Umno tolak kerjasama dengan Bersatu pada PRU15 - Zahid Hamidi

 Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini menyatakan bahawa 143 dari 191 bahagian Umno (74.8 peratus) mengusulkan untuk tidak bekerjasama dengan Bersatu pimpinan Muhyiddin pada PRU15.

Menurut laporan FMT, Zahid mendakwa bahawa maklum balas itu dikumpulkan melalui kumpulan WhatsApp yang dianggotai semua pemimpin bahagian.



Katanya, perkara itu akan dibincangkan dalam mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno Rabu ini.

"Saya berharap keputusan yang akan dibuat nanti diterima sebagai keputusan parti kerana jika satu keputusan sudah dibuat, maka semua harus akur dan diikuti," katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Semalam, Umno Johor menyatakan kesediaan mereka untuk memberi laluan kepada Muhyiddin mempertahankan kerusi Parlimen Pagoh.

Keputusan itu bagaimanapun ditentang oleh Umno bahagian itu sendiri.

Sementara itu, pemimpin parti dari Melaka, Perak, Kelantan, dan Pahang, menyatakan hasrat untuk merebut kembali kerusi yang dipegang anggota Parlimen yang telah berpaling tadah kepada Bersatu.

Zahid hari ini menegaskan pendirian itu dengan mengatakan MT telah memutuskan untuk mempertahankan semua kerusi yang dimenangi pada 2018.

Dalam pada itu, Umno Putrajaya pula menyuarakan pendirian berbeza, iaitu menyokong kepimpinan Muhyiddin sebagai perdana menteri.

Ketuanya Tengku Adnan Tengku Mansor juga berharap hubungan Umno dan Bersatu dapat diperbaiki.

Baca selanjutnya https://www.malaysiakini.com/news/557472

Malu! Sekali video Timbalan Menteri tertidur masuk berita Turki tu...

 Rakaman video yang menunjukkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith tertidur ketika di satu majlis konvokesyen baru-ba...