Selasa, 2 Februari 2021

Selepas beli kereta baharu untuk Ketua Menteri, kerajaan P Pinang umum RM5 juta besarkan pejabat exco

 GEORGE TOWN: Sebulan selepas kontroversi membabitkan ketua menteri dan kereta baharunya yang berharga RM458,000, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan projek mengubahsuai serta membesarkan pejabat exco kerajaan negeri di Komtar dengan kos hampir RM5 juta.

Tender akan dibuat secara tender terbuka.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata pejabat exco tidak diubah sejak 1986 (setahun selepas Komtar disiapkan) dengan setiap satu daripadanya hanya 1,400 kaki persegi.


Pengumuman untuk membelanjakan RM5 juta bagi membesarkan pejabat ahli exco negeri dibuat sebulan selepas kontroversi berhubung pembelian Mercedes baharu ketua menteri. (Gambar Bernama)

Katanya, kos keseluruhan untuk mengubah suai pejabat exco di aras 52 dan 53, termasuk memindahkan pejabat berkenaan ke aras 31 untuk sementara waktu, akan menelan belanja kira-kira RM4.95 juta.

“Tiada pengubahsuaian besar dilakukan sejak pejabat exco berkenaan beroperasi pada 1986. Projek yang diluluskan dalam tender terbuka itu akan dilaksanakan dengan mematuhi prosedur sewajarnya.

“Projek itu juga akan memacu ekonomi dengan membantu pembida yang berjaya dalam pandemik ini,” katanya dalam kenyataan.

Chow juga mengumumkan bantuan kewangan RM20 juta sebagai tambahan kepada peruntukan RM155.5 juta yang diluluskan tahun lalu untuk membantu mereka yang terkesan akibat pandemik Covid-19.

Katanya, RM50 juta lagi telah diperuntukkan bagi program iSejahtera negeri, untuk menyalurkan bantuan kepada ibu tunggal, warga emas, golongan kurang upaya dan kanak-kanak.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/02/selepas-beli-kereta-baharu-untuk-ketua-menteri-kerajaan-p-pinang-umum-rm5-juta-besarkan-pejabat-exco/

Mengapa 12 tertuduh LTTE didakwa? Soal Ahli Parlimen Klang kepada Tommy Thomas

 PETALING JAYA: Bekas peguam negara Tommy Thomas diminta menjelaskan mengapa 12 orang didakwa dalam kes Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) pada 2019 sekiranya beliau merasakan kes terhadap mereka lemah seperti dinyatakan dalam bukunya yang baru diterbitkan.



“Jelas tiada kes terhadap tertuduh,” kata Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago kepada FMT.

“Sekiranya tiada kes, mengapa Jabatan Peguam Negara membenarkan mereka didakwa?”

“Sebelumnya, polis berkata, transaksi kewangan besar telah dikesan dalam akaun mereka yang ditangkap, dengan wang yang kononnya untuk menghidupkan kembali LTTE. Sehingga hari ini, bukti ini belum dikemukakan,” kata beliau.

Santiago berkata, beberapa tertuduh masih mengalami kesulitan dalam mencari pekerjaan akibat kes itu.

Dua ahli DAP, P Gunasekaran dan G Saminathan, kedua-duanya ADUN, dan 10 yang lain didakwa pada Oktober 2019 atas dakwaan mempunyai kaitan dengan LTTE.

Namun, pada Februari tahun lalu, Thomas mengumumkan bahawa beliau menggunakan kuasanya sebagai pendakwa raya untuk menghentikan prosiding terhadap 12 lelaki itu.

Dalam bukunya yang diterbitkan pada 30 Jan, Thomas menulis beliau terganggu dengan perbicaraan akan datang terhadap 12 tertuduh tersebut kerana merasakan kes pendakwaan lemah.

Beliau juga berkata, kes LTTE dan siasatan mengenai kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim menggariskan isu perkauman yang dihadapi oleh Pakatan Harapan (PH) ketika menjadi kerajaan.

Adib meninggal dunia akibat kecederaan yang didakwa dialaminya selepas diserang ketika memadamkan kebakaran berhampiran Kuil Seafield di Subang.

PH tak tahu bagaimana menangani terbabit

Santiago bersetuju kedua-dua kes itu digunakan untuk menimbulkan sentimen perkauman terhadap kerajaan PH tetapi Thomas juga harus menggalas sedikit tanggungjawab.

Beliau berkata, memang jelas yang isu LTTE dan kematian Adib digunakan sebagai alat politik, dan “PH tidak tahu bagaimana untuk menangani isu tersebut”.

Katanya, pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad, yang ketika itu menjadi perdana menteri, tidak menyediakan kepemimpinan, terutama dalam kes LTTE, dan pemimpin Melayu lain dalam PH memilih untuk berdiam diri.

Santiago berkata, dia percaya pertikaian dalam PH adalah salah satu punca kegagalan pemimpin Melayu dalam gabungan itu untuk bersuara tentang isu berkenaan.

Beliau berkata, realitinya dalam politik adalah isu seperti itu akan berterusan selagi parti berasaskan kaum terus wujud.

“Saya harap rakyat sekarang akan melihat bagaimana bangsa dan agama dipergunakan, yang kemudian menyatukan golongan seperti Umno dan PAS, dan kemudian PPBM.

“Hari ini, PH tidak berkuasa. Mereka (Golongan seperti Umno dan PAS, dan kemudian PPBM) yang berkuasa. Siapa yang akan menghalang mereka daripada menyelesaikan masalah yang dipersalahkan ke atas kami ini? ” kata Santiago.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/02/mengapa-12-tertuduh-ltte-didakwa-soal-ahli-parlimen-kepada-tommy-thomas/

Pendedahan Annuar Musa, pemimpin Umno jumpa DAP tak dibincang MKT

 PETALING JAYA: Pertemuan pemimpin Umno dengan DAP bertujuan untuk bekerjasama yang “didedah” Annuar Musa tidak pernah dibincangkan pada mesyuarat ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).

Ahli MKT Umno Mohd Razlan Rafii berkata, keputusan adalah “No DAP, No Anwar”, dan ia kekal sehingga hari ini.

Anwar merujuk kepada Presiden PKR merangkap Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim.

“Tidak pernah dibangkitkan (isu pemimpin Umno jumpa DAP untuk kerjasama) dalam mesyuarat MKT,” katanya kepada FMT ketika mengulas dakwaan Annuar bahawa wujud gerakan daripada pemimpin Umno untuk bekerjasama dengan DAP termasuk untuk membentuk kerajaan baru.

Razlan berkata, kalau ada pihak dalam Umno cuba menggerakkan kerjasama dengan DAP dan Anwar ia bersifat peribadi bukanlah keputusan rasmi parti.

Mengulas isu jajaran politik kononnya parti itu mahu bekerjasama dengan DAP sehingga menjadi polemik dalam Umno, Razlan berkata isu itu perlu dilihat dengan lebih meluas.

“Jajaran politik ini adalah luas tidak semestinya kita menyokong DAP dan PKR, jajaran politik ini kita nak tafsirkan seperti mana kita lihat di Melaka ada ADUN DAP, PKR keluar parti sokong tubuh kerajaan negeri sama juga di Perak, jajaran politik ini bukannya kita sokong kerjasama dengan DAP dan PKR,” katanya.

Di Perak, usaha Umno menggulingkan menteri besar daripada PPBM disokong DAP dan usaha itu berjaya. Umno kini memegang jawatan menteri besar di negeri itu.


Ahli MKT Mohd Razlan Rafii berkata kalau ada pihak dalam Umno cuba mengerakkan kerjasama dengan DAP dan Anwar Ibrahim, ia bersifat peribadi bukanlah keputusan rasmi parti. (Gambar Bernama)


Sehubungan itu, Razlan menyeru ahli Umno supaya berhenti bergaduh sesama sendiri di media sosial berhubung isu tersebut sebaliknya kembali bersatu menguatkan parti.

“Kita fokus bantu rakyat, jadi semak dan imbang untuk kepentingan rakyat bukan kepentingan individu dalam parti,” katanya.

Pada 6 Jan lalu, Annuar yang dipecat sebagai setiausaha agung Barisan Nasional (BN) mendakwa, beliau menerima laporan wujud gerakan daripada pemimpin Umno untuk bekerjasama dengan DAP termasuk membentuk kerajaan baharu.

Beliau kemudian mengulangi dakwaan itu pada 12 Jan sambil memaklumkan beberapa pemimpin Umno menemui Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke.

Pada hari sama Loke menafikan dakwaan itu.

https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/02/02/pendedahan-annuar-pemimpin-umno-jumpa-dap-tak-dibincang-mkt/

Malu! Sekali video Timbalan Menteri tertidur masuk berita Turki tu...

 Rakaman video yang menunjukkan Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Eddin Syazlee Shith tertidur ketika di satu majlis konvokesyen baru-ba...